ORANG ramai yang menjalani saringan secara pandu lalu. FOTO Hassan Omar
ORANG ramai yang menjalani saringan secara pandu lalu. FOTO Hassan Omar


SERAMAI 224 individu selesai menjalani saringan Covid-19 secara pandu lalu di Klinik Kesihatan Masjid Tanah, Alor Gajah yang diadakan sejak minggu lalu.

Ia adalah susulan terdapat kes positif wabak itu di sekitar kawasan Masjid Tanah.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, Jabatan Kesihatan negeri berpuas hati dengan kesanggupan individu terbabit menjalani saringan berkenaan bagi membantu menghentikan penularan wabak berbahaya itu, terutama di sekitar Masjid Tanah.

"Alhamdulillah, kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyahut seruan Jabatan Kesihatan supaya menjalani saringan itu berikutan ada kes positif Covid-19 dicatatkan di sekitar Masjid Tanah sebelum ini.

"Jika ada sesiapa yang mempunyai gejala atau disahkan positif Covid-19 mereka akan dihubungi untuk diambil tindakan selanjutnya," katanya di Alor Gajah, hari ini.

Beliau berkata, purata 37 individu menjalani saringan dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari sepanjang enam hari program berkenaan yang berakhir hari ini.

"Proses saringan berjalan lancar kerana hanya mereka yang mempunyai janji temu dibenarkan memandu kenderaan melalui kawasan saringan dan ia mampu mengurangkan kesesakan dalam klinik.

"Kebanyakkan yang hadir dalam saringan itu adalah mereka yang mempunyai gejala demam, selsema atau sakit tekak, selain kontak rapat dengan individu positif Covid-19 atau berada di lokasi yang ada risiko dijangkiti wabak itu," katanya.

Ujian saringan itu adalah susulan terdapat kes dua penghuni di pusat pengajian agama di Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah yang masing -masing berusia 42 tahun dan 20 tahun disahkan positif wabak itu pada 3 Mei lalu.

Pada 5 Mei lalu, juruwang di sebuah pasar raya di pekan Masjid Tanah juga disahkan positif wabak itu.

Berikutan itu, pasar raya berkenaan diarahkan Jabatan Kesihatan Melaka supaya menghentikan operasi bagaimanapun ia sudah dibuka semula pada 14 Mei lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 3:30 PM