GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


MAJLIS Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan parti itu sudah membuat keputusan keluar daripada Pakatan Harapan dan membentuk gabungan parti politik baharu dengan parti lain pada 23 Februari lalu.

Bersatu menerusi kenyataan bersama 27 ahli MPT dan Ketua Badan Pimpinan Negeri, hari ini berkata, keputusan itu adalah jelas dan tidak perlu dipertikaikan.

"Kami juga menyokong sepenuhnya penubuhan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan parti politik dengan matlamat dan tujuan yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman PN.

"Demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan politik negara, kami bersetuju Bersatu menyertai PN," katanya.

Mereka juga menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan PN di bawah kepimpinan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Antara yang menyatakan pendirian itu ialah Naib Presiden Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, Naib Presiden (Ketua BPN Selangor) Datuk Abdul Rashid Asari, Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Mohd Harun, Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainudin, Bendahari Agung Datuk Mohamed Salleh Bajuri dan Ketua Penerangan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 3:55 PM