Keadaan lori tiga tan yang terbalik ke dalam parit menyebabkan kelindan maut manakala pemandunya cedera parah di Kilometer 65.7 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan). FOTO IHSAN BOMBA
Keadaan lori tiga tan yang terbalik ke dalam parit menyebabkan kelindan maut manakala pemandunya cedera parah di Kilometer 65.7 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan). FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


KELINDAN warga Bangladesh menemui ajal, manakala pemandu parah selepas lori dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di Kilometer 65.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Pendang, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa berusia 40-an dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan dan kepala, manakala pemandu berusia 30-an patah tangan serta kaki.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.15 pagi.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Nazri Kasa dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba pasukan bomba membantu mengeluarkan dua mangsa terbabit dari kenderaan yang terbalik.

"Pemandu lori patah tangan dan kaki, manakala kelindannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian," katanya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani bagi menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 5:36 PM