Muhaamad Hafis Nawawi


SISTEM Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang berfungsi sebagai sistem rangkaian radar 24 jam digunakan bagi mengawasi semua jenis pergerakan bot atau kapal mencurigakan di perairan negara di sepanjang Selat Melaka.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, sistem itu akan digunakan pada Ops Benteng yang dilaksanakan pihaknya bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurutnya, Ops Benteng itu membabitkan aset sembilan kapal induk, 50 bot pemintas milik ketiga-tiga agensi di sepanjang kawasan di Selat Melaka.

"Bot pemintas diletakkan dalam keadaan bersedia di kapal induk selama 24 jam supaya mudah bergerak apabila SWASLA mengesan pergerakan mencurigakan di perairan negara.

"Bot pemintas ini tidak ditempatkan di jeti kerana kita ingin cepat ke lokasi dan memintas bot yang mencurigakan," katanya kepada media selepas melakukan tinjauan persiapan dan kesiapsiagaan aset APMM Selangor yang terbabit dalam Ops Benteng, malam tadi.

Mohd Zubil berkata, misi APMM adalah untuk menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada melangkah ke daratan Malaysia.

"Negara kita sudah menunjukkan kes Covid-19 yang semakin menurun dan kita tidak mahu PATI yang datang bekerja secara haram ke negara ini membawa wabak itu.

"Mereka ini sudah tentunya tidak ada saringan Covid-19 dan dibimbangi akan menyebabkan kes baharu di negara ini," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada tekong darat yang menyediakan penginapan kepada PATI ini di mana pihaknya akan memburu dan memantau pergerakan mereka.

MOHD Zubil memberi penerangan mengenai sistem SWASLA. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi
MOHD Zubil memberi penerangan mengenai sistem SWASLA. FOTO Muhaamad Hafis Nawawi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 5:45 PM