GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta dinaiki dua lelaki dipercayai pengedar dadah, yang cuba melanggar mereka, Isnin lalu.

Tembakan menyebabkan kereta berhenti namun, kedua-dua suspek sempat melarikan diri. Polis kemudian menemui satu paket dadah disyaki syabu dalam kenderaan berkenaan.

Sumber berkata, dalam kejadian 4.30 petang itu, anggota menjalankan kawalan lalu lintas di Jalan Genting Klang, Setapak dan melihat sebuah Nissan Teana dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Anggota cuba menahan kereta itu untuk pemeriksaan, namun suspek memecut laju ke arah Gombak dan memasuki jalan bertentangan.

"Semasa dalam kesesakan, anggota dapat menahan kereta itu dan mengarahkan suspek turun tetapi suspek cuba melanggarnya.

Anggota kemudian melepaskan dua das tembakan ke arah tayar hadapan bagi memberhentikan kereta itu.

"Suspek bagaimanapun terus memecut menuju Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) sebelum terhenti di tengah pembahagi jalan lebuh raya itu. Kedua-dua suspek lari meninggalkan kenderaan," katanya.

Kata sumber itu lagi, pemeriksaan di dalam kereta itu menemui dadah disyaki syabu dan siasatan lanjut masih diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 12:15 PM