Empangan Durian Tunggal, Melaka.
Empangan Durian Tunggal, Melaka.


OPERASI pengepaman air dari Sungai Gersik, Muar ke Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah yang dihentikan pada 4 petang semalam akibat kebocoran pam, sudah disambung semula bermula 5.55 pagi hari ini.

Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Zaidi Attan berkata, kerja penampalan bagi keempat-empat pam berkenaan bermula 1.55 pagi hari ini emalam sebelum operasi pengemapan diaktifkan semula secara berperingkat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, punca kebocoran pam berkenaan disebabkan usia peralatan itu yang sudah melebihi 30 tahun.

"Apabila didapati terdapat kebocoran saluran pam, kami mengambil tindakan drastik dengan menutup semua pam dari Sungai Gersik ke Empangan Durian Tunggal serta memulakan operasi menampal kebocoran bermula 1.55 pagi.

"Selepas semua kerja penampalan selesai, kami mula membuka pam secara peringkat bermula 3.52 pagi dan berakhir 5.55 pagi," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, di Jasin, hari ini.

Semalam, satu kenyataan SAMB memaklumkan mengenai henti tugas sementara di Rumah Pam Gersik, Muar ekoran masalah kebocoran paip air mentah.

Pihak SAMB menjalankan proses pembaikan kebocoran dan membuat perubahan sistem pengepaman bekalan air mentah dari Sungai Melaka ke Loji Rawatan Air (LRA) Bertam 2.

Pengguna mengalami tekanan air rendah ketika penggunaan meningkat membabitkan kawasan Kampung Baru Selandar, Kampung Jus, Bukit Senggeh, seluruh Jalan Selandar, Taman Selandar Permai, Taman Sri Selandar, FELDA Ayer Kangkong, Kampung Kemendor, Taman Sri Kemendor, Kampung Seri Kesang serta Kampung Orang Asli Gapam.

Sementara itu, Zaidi berkata, keadaan bekalan air di Melaka ketika ini semakin baik dengan penambahan kapasiti air bersih di ketiga-tiga empangan utama di negeri itu.

Katanya, kadar air di Empangan Durian Tunggal mencapai paras 75 peratus, diikuti Empangan Asahan (100 peratus) manakala Empangan Jus (35 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 4:41 PM