KAWASAN yang terjejas akibat ribut. FOTO Ihsan APM
KAWASAN yang terjejas akibat ribut. FOTO Ihsan APM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


BEBERAPA kawasan di sekitar Sentul, Setapak, Wangsa Maju dan Gombak di Kuala Lumpur terjejas akibat dilanda ribut dan angin kencang petang tadi.

Kejadian yang bermula pada 6 petang itu mengakibatkan lebih 20 jalan di kawasan berkenaan terjejas akibat pokok tumbang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima 30 laporan kejadian pokok tumbang akibat ribut dan angin kencang berkenaan.

"Anggota APM bergegas membuat tinjauan sebelum bertindak melakukan operasi pembersihan kawasan bagi memudahkan pergerakan awam yang terganggu akibat pokok tumbang.

"Antara lokasi yang terjejas ialah Stesen LRT Taman Melati, Lebuhraya Duka berhampiran Keramat, Danau Kota, Seksyen 1 Wangsa Maju, Jalan Gurney dan Sri Rampai," katanya kepada Harian Metro.

Shahrul Kamar berkata, kerja pembersihan di kawasan terjejas kini giat dijalankan dengan bantuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Operasi pembersihan sedang dijalankan dan dijangka siap pada awal pagi ini.

"Setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat kejadian berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 10:15 PM