PEMERHATI Udara PGU, Sub- Inspektor Borahan Bejo (kiri) dan anggota pasukan Polis Marin, Inspektor Adam Abdullah (kanan) melihat keadaan semasa di perairan Selat Melaka ketika tinjauan udara. FOTO Bernama
PEMERHATI Udara PGU, Sub- Inspektor Borahan Bejo (kiri) dan anggota pasukan Polis Marin, Inspektor Adam Abdullah (kanan) melihat keadaan semasa di perairan Selat Melaka ketika tinjauan udara. FOTO Bernama
BERNAMA

PASUKAN Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat memperhebatkan rondaan di Selat Melaka terutama di kawasan dipercayai menjadi 'laluan tikus' pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk masuk ke negara ini.

Tanpa mendedahkan lokasi tumpuan itu, pembantu juruterbang PGU Asisten Superintendan Mohammad Firdaus Rosli berkata, usaha itu sebahagian daripada Op Benteng yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 terutama membabitkan warga asing.

"Kita sudah mengenalpasti beberapa kawasan di sekitar pesisir perairan negara terutama di Selat Melaka dari Pelabuhan Klang, Selangor hingga ke Tanjung Piai, Johor yang dilihat dijadikan lokasi laluan tikus pendatang asing (tanpa izin).

"Disebabkan itu, enam penerbangan dilakukan sehari oleh PGU manakala penerbangan lain turut dibuat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sepanjang pesisir Selat Melaka bagi memastikan pendatang asing ini tidak mendarat di negara kita," katanya.

PEMERHATI Udara PGU, Lans Koperal Mohammad Al- Amin Abdul Rahim melihat keadaan semasa di perairan Selat Melaka ketika tinjauan udara. FOTO Bernama
PEMERHATI Udara PGU, Lans Koperal Mohammad Al- Amin Abdul Rahim melihat keadaan semasa di perairan Selat Melaka ketika tinjauan udara. FOTO Bernama

Terdahulu beliau yang mengemudi pesawat Agusta Westland AW139 bersama tiga kru penerbangan dan wartawan Bernama membuat tinjauan sepanjang pesisir pantai Selat Melaka di sekitar Selangor dan Perak, malam tadi.

Mohammad Firdaus berkata, Pati sering menjadikan waktu air laut sedang pasang iaitu antara 4 hingga 7 pagi dan 6.30 petang sehingga 8 malam sebagai waktu untuk menceroboh masuk dalam negara.

"Walaupun pada waktu berkenaan sangat bahaya, namun ada di antara mereka tetap nekad dan menganggap ia masa terbaik untuk masuk ke dalam negara kita," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pihaknya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berlaku di kawasan perairan negara, PGU akan memaklumkan rakan penguat kuasa di lautan seperti pasukan Polis Marin dan APMM untuk melakukan pintasan.

"Peranan PGU sebagai 'mata di udara' yang mempunyai skop pandangan udara yang luas di sekitar pesisir pantai memudahkan Polis Marin dan APMM melancarkan serbuan atau pintasan.

KELIHATAN bot nelayan di perairan Selat Melaka ketika tinjauan udara bersama PGU PDRM. FOTO Bernama
KELIHATAN bot nelayan di perairan Selat Melaka ketika tinjauan udara bersama PGU PDRM. FOTO Bernama

Op Benteng diaktifkan di bawah National Task Force yang diterajui oleh ATM, PDRM dan Maritim Malaysia untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 3:44 PM