Anggota polis membuat pemeriksaan ke rumah bagi mengesan perantauan pulang berhari raya di kampung. FOTO IHSAN PDRM.
Anggota polis membuat pemeriksaan ke rumah bagi mengesan perantauan pulang berhari raya di kampung. FOTO IHSAN PDRM.
Safuri Kamarudin


POLIS mula menggerakkan anggota membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah di daerah Baling untuk mengesan individu yang ingkar apabila pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, polis akan mengesan mereka yang melakukan perjalanan merentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan di seluruh daerah Baling sejak malam tadi bagi memastikan tiada mereka yang melanggar arahan dan pulang ke kampung menggunakan jalan tikus.

"Kita akan memastikan keadaan selamat dan tidak ada mereka yang ingkar atau melanggar arahan dikeluarkan.

"Setakat semalam tidak ada kompaun dikeluarkan dan pemeriksaan dari rumah ke rumah akan diteruskan menjelang Aidilfitri bagi memastikan PKPB dipatuhi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Basri berkata, anggota polis dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan membuat pemantauan di pusat beli-belah dan kedai makan bagi memastikan orang ramai patuh arahan dan menjaga penjarakan sosial serta memakai pelitup muka.

"Menjelang hari raya, orang ramai yang keluar membeli keperluan perlu mematuhi prosedur operasi selamat (SOP) dan kita akan mempertingkatkan pemeriksaan berikutan Kedah mencatat satu kes positif Covid-19, semalam," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 3:46 PM