X
NADZIM JOHAN
NADZIM JOHAN
Raja Noraina Raja Rahim

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan supaya melaksanakan kadar harga siling bagi perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan untuk melindungi pengguna.

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana syarikat yang menawarkan perkhidmatan berkenaan mengenakan kadar tidak menentu terutama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, caj penghantaran itu menguntungkan syarikat tetapi sebaliknya membebankan pengguna.

Katanya, Kementerian Pengangkutan perlu menetapkan kadar tertentu mengikut lingkungan atau jarak penghantaran yang boleh dijadikan panduan kepada syarikat pengendali.

"Kementerian juga perlu menyediakan satu garis panduan berkaitan urusan penghantaran, kos dan undang-undang membabitkan syarikat serta penghantar.

"Caj penghantaran itu menguntungkan syarikat tetapi sebaliknya penghantar hanya menerima bayaran tertentu selain perlu menanggung kos minyak, tol dan penyelenggaraan kenderaan.

"Malah ada penghantar yang terpaksa keluar duit sendiri untuk bayar barangan ditempah pelanggan dan kemudiannya pelanggan itu gagal dikesan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru, Nadzim meminta kerajaan memantau dan memastikan kadar penghantaran kekal munasabah.

Harian Metro hari ini melaporkan permintaan terhadap perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan mengalami kenaikan mendadak berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara selain pelaksanaan PKP.

Apa yang mengecewakan ada segelintir pengendali penghantaran dan penghantar persendirian mengambil kesempatan atau 'cekik darah' dengan mengenakan caj penghantaran tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 7:31 PM