GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


PREMIS menjual jam di sebuah pasar raya di Taiping kerugian RM 72,047 apabila 116 jam tangan berjenama dilarikan perompak, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada pemilik premis pada 10.20 pagi.

Menurutnya, mangsa berusia 57 tahun, hanya menyedari kejadian itu setelah menyedari pelbagai jam di rak pameran G-Shock dan Casio, hilang, sewaktu mahu memulakan perniagaannya pagi itu.

"Hasil siasatan mendapati 44 jam tangan berjenama G-Shock, 38 jam jenama Seiko, 28 jam jenama Baby-G dan enam jam jenama Casio, dilarikan perompak manakala jenama lain langsung tidak terusik.

"Kesemua 116 jam tangan yang dilarikan mempunyai resit belian dan bernilai pasaran RM 72,047.

"Terdapat juga kesan geledah di bahagian kaunter namun tiada sebarang kehilangan direkodkan ,"katanya dihubungi media.

Menurutnya lagi, siasatan lanjut mendapati premis yang berada di tingkat satu itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), namun ia tidak berfungsi.

"Usaha mengenal pasti suspek giat dijalankan," katanya.

Osman berkata, kes masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 9:18 AM