Anggota polis dari Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) Segamat melakukan pemantauan di Tanah Makam Perkuburan Kampung Lubok Batu, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Anggota polis dari Unit Rondaan Bermotorsikal (URB) Segamat melakukan pemantauan di Tanah Makam Perkuburan Kampung Lubok Batu, Segamat. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


SELAIN mengesan individu rentas negeri, Polis Daerah Segamat, Johor turut membuat rondaan pematuhan larangan menziarahi kubur ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Rondaan bukan sahaja dilakukan pada waktu siang, malah turut dilaksanakan pada waktu malam bagi mengesan pihak yang ingkar.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, anggotanya akan melakukan pemantauan ke tanah perkuburan pada Hari Raya Aidilfitri ini.

"Kita bukan sahaja akan mengesan individu yang rentas negeri pulang beraya di kampung, malah turut menguatkuasakan larangan menziarahi kubur ketika hari raya ini.

"Petugas di tanah perkuburan sedia bekerjasama menyalurkan maklumat jika ada yang cuba melanggar larangan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Umat Islam di Johor dilarang menziarahi pusara dan tanah perkuburan pada Aidilfitri ini bagi mengelak penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, umat Islam di negeri ini diminta patuh pada larangan berkenaan bagi memastikan rantaian wabak dapat diputuskan.

Sementara itu, Raub turut berkata pihaknya akan memastikan jumlah kehadiran majlis pengebumian dan penjarakan sosial upacara kerohanian agama lain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 3:13 PM