X
GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hazira Ahmad Zaidi


JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan menafikan dakwaan wanita yang pulang ke kampungnya di Machang dari Cyberjaya, semalam didapati positif Covid-19.

Sebaliknya, saringan kesihatan ke atas lelaki berkenaan sudah dilakukan, tetapi masih menunggu keputusan makmal untuk tindakan lanjut.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya difahamkan ada aduan terhadap wanita berkenaan dikatakan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila bertindak merentas negeri.

Menurutnya, bertindak atas aduan, beberapa pegawai Hospital Machang bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang ke rumah wanita itu untuk melakukan saringan kesihatan.

"Ketika saringan kesihatan dan sampel ujian swab dilakukan, petugas kesihatan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Ia bagi mengelakkan sebarang risiko dan wanita itu memberi kerjasama yang baik semasa proses saringan serta sampel itu diambil.

"Bagaimanapun, kami belum dapat mengesahkan sama ada ia positif Covid-19 atau sebaliknya, sehingga keputusan makmal diperolehi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai mesej suara (voice note) meminta semua pihak berjaga-jaga kerana seorang wanita dari Cyberjaya yang positif Covid-19 dikatakan melarikan diri untuk pulang ke rumah keluarganya di Machang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 3:51 PM