X
NUR Afni Nirwani Khairizul, 16, tidak mahu menangis di hadapan empat adiknya selepas mereka yatim piatu ketika ditemui di kediaman datuk mereka di Jalan Hj Mohd Saad, Bagan Jermal di Butterworth. FOTO Danial Saad

Nur Izzati Mohamad

"SETIAP kali menjelang Aidilfitri, mama dan abah paling sibuk memilih warna tema, mencari baju untuk kami serta menempah kuih semperit, namun kini hanya tinggal kenangan," kata Nur Afni Nirwani Khairizul, 16.

Nur Afni bakal menyambut kedatangan Aidilfitri dalam suasana suram bersama adik-adiknya iaitu Nur Istana Nadira, 14, Nur Erna Nabila, 12, Nur Qurratul Ain, 7, dan Muhammad Khairi Zafran, 2, apabila bergelar yatim piatu.

Mereka kematian bapa Khairizul Mohamad Noor, 38, selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 9 Februari, disusuli dengan pemergian ibu mereka Zuriana Hasan, 35, di Hospital Seberang Jaya (HSJ), 5 April lalu.

Menurut Nur Afni, kehadiran Ramadan dan Aidilfitri kali ini begitu berbeza kerana pertama kalinya disambut tanpa ibu bapa.

"Apabila makan ini teringat abah dan mama, buat itu teringat lagi mama dan abah, tambahan pula adik bongsu setiap masa mencari mama dan abah.

"Ikutkan sekarang mesti mama dan abah paling sibuk menyediakan kelengkapan hari raya, tetapi apa boleh buat mereka berdua sudah tiada," katanya ketika ditemui di rumah datuknya di Jalan Mohd Saad, Butterworth, semalam.

Katanya, dia perlu tabah menghadapi ujian dan berterima kasih kepada semua pihak yang sehingga kini prihatin terhadap nasib menimpa mereka lima beradik.

"Mama suka tempah kuih semperit dengan seorang jiran, dan beberapa hari lalu dia hantar kuih itu kepada kami kerana mengingati arwah mama yang menjadi pelanggan tetapnya," katanya.

Sementara itu, nenek mereka, Asmalaili Mohd, 58, berkata setiap masa dia mengingati kenangan bersama arwah anak dan menantunya.

"Orang kata kematian anak itu lebih sakit dan saya kini sedang merasainya yang mana kehilangan dua insan yang sangat saya sayang.

NUR Afni Nirwani Khairizul, 16, (dua dari kanan) melihat gambar arwah ayah dan ibu mereka bersama adik-adiknya dari kiri, Nur Istana Nadira,14; Nur Qurratul Ain, 7; Muhammad Khairi Zafran, 2; dan Nur Erna Nabila, 12; bagi mengubat kerinduaan menjelang Aidilfitri ketika ditemui di kediaman datuk mereka di Jalan Hj Mohd Saad, Bagan Jermal di Butterworth. FOTO Danial Saad

"Arwah anak dan menantu antara yang paling ceria kalau buat persiapan nak raya, tetapi kali ini ketiadaan mereka cukup terasa.

"Kebiasaannya pada hari raya pertama semua akan berkumpul makan nasi tomato dan ayam masak merah setiap kali datang beraya, tetapi kali ini agak sayu kerana tidak ada lagi mereka berdua di rumah ini," katanya.

Katanya, kesedihan itu berkurangan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, namun kenangan bersama anak dan menantu sentiasa berada dalam ingatan.

Dalam kemalangan itu, Khairizul maut di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangi bersama isterinya dilanggar pemandu dipercayai mabuk di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara dekat susur ke Perai, Bukit Mertajam.

Zuriana yang mengalami kecederaan parah dirawat di HSJ sebelum menghembuskan nafas terakhir selepas koma selama dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 4:58 PM