ANGGOTA polis dan ATM melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan di lokasi SJR berhampiran Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANGGOTA polis dan ATM melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan di lokasi SJR berhampiran Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


AMBIL slip gaji di Johor dengan membawa anak serta isteri bersama beg pakaian.

Itu antara alasan tidak masuk akal diberikan seorang lelaki ketika pemeriksaan pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Besi arah ke selatan, semalam.

Bagaimanapun, hasrat lelaki itu untuk 'mengambil slip gajinya' tidak kesampaian apabila dia diarahkan berpatah balik.

Anggota polis bertugas di lokasi itu memaklumkan pelbagai alasan diberikan orang awam yang mahu merentas negeri termasuk menziarah keluarga di kampung.

"Kebanyakan yang melalui laluan ini adalah individu bekerja. Namun, ada juga segelintir yang cuba 'menyelinap' mahu merentas negeri dengan memberi alasan mahu menjenguk anak dan isteri selain menziarah ahli keluarga sakit tanpa ada surat kebenaran.

"Malah, ada satu keluarga yang ditahan malam tadi memaklumkan mahu ke Johor untuk mengambil slip gaji dengan membawa beg pakaian.

"Mereka kemudian diarahkan berpatah balik dengan membuat pusingan U di laluan disediakan," katanya ketika ditemui di SJR berhampiran Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, aliran trafik lancar di kebanyakan lokasi di seluruh Semenanjung, hari ini.

"Pada masa sama, kami dimaklumkan ada beberapa lokasi sedikit sesak di kawasan SJR berikutan pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa di lokasi berkenaan.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya trafik di semua arah dari pusat bandar ke utara, selatan dan timur adalah lancar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan trafik semasa menjelang Aidilfitri.

"Setakat ini di pihak JSPT Bukit Aman, kami mempunyai tujuh sekatan jalan raya di lebuh raya utama di Semenanjung bagi memeriksa kenderaan yang mahu melakukan rentas negeri.

"Selain tujuh SJR itu, semua kontinjen di negeri masing-masing juga ada melakukan SJR bagi memastikan tiada individu yang cuba melanggar arahan (rentas negeri) berkenaan.

"Setakat ini, belum ada lagi kompaun dikenakan terhadap orang awam yang cuba merentas negeri tanpa kebenaran dilakukan pihak kami (JSPT Bukit Aman)," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya patuh terhadap arahan dikeluarkan kerajaan sepanjang tempoh musim perayaan ini.

Tinjauan Harian Metro di SJR Plaza Tol Sungai Besi dan Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Bandar Seri Putra, Kajang mendapati lalu lintas di kawasan berkenaan sesak kira-kira satu kilometer berikutan pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa.

Terdapat tiga laluan bagi pemeriksaan dibuka di kedua-dua lokasi SJR berkenaan dengan satu daripadanya dikhaskan untuk kenderaan perdagangan.

Selain pihak polis, penugasan di lokasi SJR terbabit turut dibantu anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 5:30 PM