FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Roji Kawi


SEPANJANG dua hari lalu, sebanyak 307 kenderaan diarah berpatah balik kerana cuba melakukan perjalanan merentasi daerah tanpa permit polis di Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, daripada jumlah itu sebanyak 118 kenderaan diarah berpatah balik pada Rabu dan semalam sebanyak 189.

Beliau berkata, mulai hari ini pihaknya tidak hanya mengarahkan mereka yang tidak mempunyai permit polis berpatah balik, sebaliknya turut mengeluarkan kompaun.

"Pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) akan diperketatkan sepanjang Aidilfitri dan Hari Gawai untuk memastikan tiada pergerakan rentas daerah tanpa kebenaran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, tindakan tegas itu sejajar dengan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

"Tradisi balik kampung di musim perayaan adalah satu kemestian, tetapi keadaan berbeza tahun ini, apabila orang ramai tidak dibenarkan balik kampung disebabkan pandemik Covid-19.

"Dalam usaha mengekang penularan wabak itu, polis akan memperketatkan pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya untuk mengelakkan orang ramai mengambil peluang balik kampung," katanya.

JPBN menetapkan SOP dengan tidak membenarkan pergerakan rentas daerah tanpa surat kebenaran daripada polis sepanjang tempoh PKPB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 6:22 PM