X
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA lelaki cedera selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipercayai dipandu lelaki mabuk di tapak peniaga di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya sudah menahan pemandu berusia 30-an itu.

"Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, suspek dipercayai memandu dalam keadaan mabuk hingga mengakibatkan dua lelaki cedera.

"Kami sudah menahan suspek kerana didapati memandu kenderaan secara melulu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan.

Terdahulu, terdapat beberapa rakaman video memaparkan beberapa anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam membaling kayu dan objek ke arah kenderaan itu yang dipandu secara melulu tular di media sosial, hari ini.

Rakaman video itu turut memaparkan kenderaan terbabit merempuh gerai makanan di kawasan terbabit.

TOYOTA Hilux yang dipandu melulu sehingga melanggar dua lelaki di Hulu Selangor, hari ini. FOTO ihsan polis.
TOYOTA Hilux yang dipandu melulu sehingga melanggar dua lelaki di Hulu Selangor, hari ini. FOTO ihsan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 9:37 PM