GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


BIARPUN pernah diserbu April lalu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebuah pusat karaoke di Towering, di Penampang, tidak serik sekali gus mengulangi kesalahan sama dalam tempoh sebulan, semalam.

Pada serbuan 12.05 tengah malam itu, polis menahan 10 individu termasuk empat wanita yang sedang berhibur di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketika sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menjalankan tugas rondaan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB, mereka terdengar bunyi bising dari sebuah premis.

"Anggota terbabit melakukan premis sebelum menahan 10 individu berusia antara 18 hingga 37 tahun.

"Semua mereka yang ditahan kemudian dibawa ke IPD Penampang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, pemeriksaan lanjut mendapati pusat karaoke berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan dan lesen hiburan.

"Sebelum ini, pusat karaoke itu juga pernah diserbu pada 7 April lalu kerana ingkar PKP dan ketika itu, penjaga premis serta tiga pengunjung ditahan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 iaitu menjalankan operasi premis hiburan tanpa lesen dan Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 8:49 AM