Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

MESKIPUN Aidilfitri tahun ini tidak dapat disambut bersama sanak-saudara di kampung halaman, kemanisan perayaan itu masih boleh dirasai walaupun diraikan dalam situasi normal baharu.

Orang ramai terpaksa akur ancaman pandemik Covid-19 di seluruh dunia ketika ini masih belum pulih dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membendung wabak itu di negara ini membataskan masyarakat menyambut hari raya bersama keluarga tercinta.

Namun begitu, ia tidak bermakna hari raya kali ini akan disambut dalam suasana suram dan bersedih kerana Aidilfitri diraikan sebagai tanda kemenangan dan kejayaan umat Islam selepas berjaya melaksanakan ibadah puasa wajib selama sebulan selain mengharungi ujian dan cabaran sepanjang Ramadan.

Pakar Psikologi Universiti Malaya (UM) Prof Datin Dr Mariani Md Nor menyifatkan keindahan Aidilfitri masih dapat dirasai walaupun tidak dapat bertemu keluarga di kampung kerana kasih sayang itu tetap tersemai di dalam hati.

"Tidak dinafikan perasaan itu berbeza kerana kita tidak boleh berjumpa, bersalaman, berpelukan di pagi raya.

"Orang ramai perlu tahu melindungi orang tersayang daripada jangkitan Covid-19 adalah tanggungjawab bersama," katanya kepada Bernama.

Jelasnya menyambut perayaan dengan normal baharu ini adalah satu kelainan tetapi hakikatnya masyarakat masih lagi boleh meraikannya dengan penuh kasih sayang seperti menggunakan teknologi untuk berhubung dengan ibu bapa di kampung di pagi raya.

Selain itu, Mariani berkata, ketika masih berhadapan dengan ancaman Covid-19, masyarakat perlu patuh arahan kerajaan dengan berada di rumah masing-masing serta hanya membenarkan kunjungan ahli keluarga terdekat sahaja bagi mengelakkan jangkitan.

"Nasihat yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah perlu diambil perhatian oleh semua pihak dalam menjaga keharmonian dalam masyarakat.

"Oleh demikian, kita dapat menjaga keselamatan bersama," katanya.

Kerajaan sebelum ini menetapkan bahawa orang ramai tidak dibenarkan merentas negeri bagi menyambut perayaan Aidilfitri kali ini serta rakyat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB bagi mencegah penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, kelainan sambutan Aidilfitri kali ini dalam keadaan normal baharu bukan penghalang umat Islam untuk meraikan bulan Syawal itu dengan penuh kegembiraan sambil mendambakan rahmat daripada Allah SWT.

"Biasanya di pagi raya, kita bersiap dengan memakai baju yang baharu sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

"Walaupun dalam keadaan normal baharu…kita tidak dapat ke masjid, umat Islam perlu bersiap di pagi raya kerana ia adalah syiar Islam iaitu kita tunjukkan bahawa kita gembira di hari itu.

"Kalau kita memakai pakaian yang cantik ia sudah mengikut sunnah Rasulullah SAW. Kita dapat pahala.

"Sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ahli keluarga di rumah, adalah sunat untuk kita menjamu selera makanan yang disediakan. Itu sudah menzahirkan syiar Islam," katanya.

Jelasnya, antara tuntutan dalam syiar Islam adalah menggembirakan hati insan tersayang, justeru itu, ekoran ketetapan kerajaan iaitu tidak membenarkan rentas negeri pada perayaan kali ini, masyarakat masih boleh berhubung mengeratkan silaturahim dengan ahli keluarga masing-masing menerusi media sosial dan panggilan video walaupun berjauhan.

Mengenai ziarah kubur, beliau berkata, walaupun tidak digalakkan melakukannya ketika ini namun masyarakat disarankan untuk membaca al-Quran, berdoa, mengadakan tahlil di rumah kepada ahli keluarga yang meninggal dunia.

"Positifnya di sini, walaupun tidak dapat menziarah kubur, kita boleh membaca al-Quran serta berdoa bersama-sama anak-anak di rumah.

"Apabila kita sudah tiada nanti, anak-anak akan bersedekah pula kepada kita. Saya rasa amalan ini patut dihidupkan dalam keluarga," jelasnya.

Abdul Rahman berkata, melawat ahli keluarga dan serta menziarahi kubur boleh dilakukan selepas selesai PKPB walaupun bukan pada Syawal.

Pakar Psikoterapi dan Kaunseling (Kemurungan dan Kebimbangan) Access Counselling Services Dr Meriam Omar Din berkata, antara hikmah meraikan Aidilfitri dalam normal baharu ini adalah setiap ahli keluarga lebih mempunyai banyak masa berinteraksi antara satu sama lain berbanding sebelum ini menjadi rutin di hari raya tuan rumah sibuk melayan tetamu.

Katanya, Aidilfitri kali ini juga memerlukan pengorbanan serta menguji kesabaran masyarakat dari segi mental, fizikal serta emosi bagi memastikan matlamat memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini tercapai.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 10:58 AM