KUCHING 23 MEI 2020.Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup dua kontena minuman keras belum lulus kastam di kawasan antara Sarikei dan Saratok, semalam.STR/NORSYAZWANI NASRI
KUCHING 23 MEI 2020.Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup dua kontena minuman keras belum lulus kastam di kawasan antara Sarikei dan Saratok, semalam.STR/NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menggagalkan cubaan menyeludup dua kontena minuman keras di Sibu, semalam.

Pasukan anggota Unit Operasi Darat, Cawangan Penguatkuasaan, JKDM Sibu dengan dibantu cawangan Sarikei memintas sebuah treler membawa dua kontena berukuran enam meter disyaki sarat dengan barang belum lulus kastam ke arah Kuching, jam 8.15 pagi.

Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, treler terbabit ditahan di kawasan antara Sarikei dan Saratok.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua kontena itu dipenuhi dengan dagangan minuman keras yang disyaki belum lulus kastam.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati 26,409.60 liter minuman keras itu bernilai RM274,042.20 serta duti kastam yang patut dibayar bernilai RM434,699.41," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, barang kes disita di bawah Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967 dan dibawa ke pejabat Penguatkuasaan JKDM Sibu untuk tindakan selanjutnya.

"Tiga warga tempatan sebagai pemandu dan dua kelindan turut ditahan mengikut Akta Kastam 1967 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 11:54 AM