MAZLAN (dua kiri) melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang melalui Plaza Tol Jalan Duta arah utara. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
MAZLAN (dua kiri) melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan yang melalui Plaza Tol Jalan Duta arah utara. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


INDIVIDU yang berjaya melepasi sekatan jalan raya (SJR) rentas negeri ke kampung halaman dengan menggunakan pelbagai helah diingatkan bahawa pihak polis mempunyai pendekatan tertentu untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan orang ramai tidak mengambil mudah mengenai perkara ini.

"Walaupun dapat melepasi pemeriksaan SJR sehingga ke destinasi dituju, namun kami (polis) ada pendekatan tertentu untuk mengatasi perkara itu.

"Awas dan jangan ambil mudah perkara ini kerana kami akan melaksanakan tugas walaupun pendekatan diambil mungkin tidak digemari masyarakat kerana pihak polis terpaksa melakukannya," katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan di Plaza Tol Jalan Duta menghala ke utara, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya dan Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi.

Mazlan berkata, amaran berhubung larangan merentas negeri juga sudah banyak kali dikeluarkan pihak berkuasa, namun masih ada segelintir individu yang berdegil.

"Kerajaan sudah banyak kali memaklumkan kepada orang ramai termasuk memberi larangan berhubung perkara itu, namun masih ada lagi individu yang cuba-cuba rentas negeri untuk beraya di kampung halaman.

"Bagi individu ingkar ini, amaran kami adalah tunggu tindakan daripada pihak polis kerana pada masa sama mereka juga perlu kembali ke ibu kota selepas ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil pendekatan mengenakan kompaun kepada individu yang melanggar perintah itu.

"Tindakan lebih agresif akan diambil berhubung perkara ini termasuk mengeluarkan kompaun kepada mereka yang tiada surat kebenaran untuk merentas negeri.

"Masyarakat dinasihatkan supaya menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini dengan mengikut arahan ditetapkan pihak berkuasa bagi memastikan kesejahteraan serta kesihatan ahli keluarga terhindar daripada wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 12:57 PM