Wakil TNB Kelantan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf yang mempunyai anak OKU di Tunjung, Kota Bharu. Foto Ihsan TNB
Wakil TNB Kelantan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf yang mempunyai anak OKU di Tunjung, Kota Bharu. Foto Ihsan TNB
Ekhwan Haque Fazlul Haque

LEBIH 21,000 golongan kurang berkemampuan menerima zakat daripada syarikat utiliti negara Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun ini.

Ketua Pegawai Korporat TNB Datuk Roslan Ab Rahman berkata, sepanjang Ramadan tahun ini syarikat itu mengagihkan zakat berjumlah RM4.3 juta.

Menurutnya, agihan zakat daripada warga kerjanya itu memberikan sedikit kelegaan kepada fakir miskin, warga emas, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta golongan B40 yang terjejas kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bantuan diagihkan terus oleh warga kerja TNB secara berperingkat sejak awal Ramadan dan sasaran penerima sumbangan ditumpukan kepada mereka yang tinggal berhampiran lokasi operasi TNB di seluruh semenanjung serta Sabah.

"Inisiatif ini membabitkan warga kerja TNB turun padang ke segenap pelusuk negeri, menziarahi dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, menerusi pembabitan warga kerja TNB itu dapat mengukuhkan lagi amalan sentiasa bersyukur, prihatin dan berkongsi rezeki bersama masyarakat.

Menurutnya, bantuan zakat wang saku dan barangan keperluan harian amat diperlukan memandangkan kebanyakan penerima hilang punca pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.

"Kami berharap bantuan ini dapat memberi kegembiraan kepada mereka yang dihimpit kesukaran terutamanya ketika menjelang Aidilfitri," katanya.

"Agihan bantuan juga turut disalurkan kepada masyarakat bukan Islam yang layak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 1:10 PM