PENGUNJUNG beratur panjang mematuhi penjarakan sosial untuk membeli barang keperluan di Pasar Awam Batu Gajah. FOTO Sharul Hafiz Zam
PENGUNJUNG beratur panjang mematuhi penjarakan sosial untuk membeli barang keperluan di Pasar Awam Batu Gajah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SATU undang-undang khusus perlu diwujudkan untuk memastikan masyarakat mematuhi etika penjarakan sosial.

Ketika ini penjarakan sosial adalah 'vaksin' paling mujarab yang mampu menghalang penularan wabak Covid-19 yang masih membelenggu negara.

Memperincikan cadangan itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, disebabkan belum ada vaksin untuk melawan virus ini, penjarakan sosial antara kaedah terbaik bagi mengawal penularan.

Menurutnya, kerajaan boleh memberi pertimbangan mewujudkan undang-undang khusus penjarakan sosial.

"Ia bukan sahaja untuk memastikan orang ramai mematuhi saranan penjarakan sosial ini.

"Malah, boleh digunakan bagi melarang pihak tertentu menggunakan isu penjarakan sosial ini untuk menaikkan harga barangan atau perkhidmatan mereka.

"Saranan undang-undang khusus mengenai penjarakan sosial ini boleh dikuatkuasakan sementara waktu sehingga vaksin Covid-19 ditemui," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga perlu memantau tindakan industri pengangkutan awam yang mungkin menaikkan tambang disebabkan kapasiti penumpang terpaksa dikurangkan ekoran penjarakan sosial.

Katanya, kerajaan harus meminta pihak pengendali perkhidmatan awam untuk mencari alternatif lain selain daripada menaikkan harga perkhidmatan.

"Kepentingan orang ramai yang kini sedang dibelenggu dengan kebimbangan penularan virus Covid-19 serta bebanan kewangan perlu dilindungi.

"Undang-undang ini perlu dilaksanakan segera sementara tiada vaksin yang ditemui dan memerlukan rakyat menjadikan penjarakan sosial sebagai normal baharu," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna boleh memainkan peranan lebih meluas bagi memastikan pengguna tidak terjejas tetapi dalam masa sama mencari mekanisme agar pengusaha juga tidak terus dibebani defisit keuntungan selepas normal baharu ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 2:44 PM