Isma Ismail dan Yusmizal Dolah Aling

KERAJAAN bimbang akan berlaku penularan Covid-19 sekiranya pendatang asing tanpa izin (Pati) bolos ke negara ini selepas Aidilfitri nanti.

Berikutan itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya minta agensi berkaitan untuk perketat kawalan di sempadan dengan mempertingkatkan Op Benteng.

Menurutnya, pemantauan secara berterusan dijalankan di sempadan terutamanya di 'lorong tikus' bagi menyekat kemasukan Pati untuk membendung penularan Covid-19.

"Kita takut dalam kalangan Pati dari negara berhampiran akna datang semula terutamanya sektor perkilangan dan sebagainya dibuka apabila cuti hari raya tamat.

"Akan pastikan kawalan di kawasan sempadan akan diperketat," katanya ketika sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, hasil usaha agensi berkaitan di sempadan berjaya menahan 287 Pati dan 28 tekong atas percubaan masuk ke negara ini secara haram.

Foto hiasan
Foto hiasan

Katanya, pihak berkuasa juga berjaya mengusir 29 Pati dan tiga tekong di sempadan selepas cuba masuk ke negara ini.

"Kita akan terus perketat kawalan, bukan hanya kerana pencerobohan mereka tetapi kebimbangan menjadi penyebar Covid-19 kepada rakyat kita," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 216,594 kenderaan diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 1,613 kenderaan cuba melakukan rentas negeri dengan alasan pulang ke kampung dan diarahkan berpatah balik.


"Negeri yang mencatatkan jumlah tertinggi melakukan cubaan rentas negeri adalah Selangor dengan 329 kes diikuti Kedah (211) dan Pulau Pinang (196).

"Pihak polis juga menahan 39 individu dan 18 daripadanya direman untuk siasatan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), manakala 21 individu lagi dikenakan kompaun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 2:52 PM