GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan


SEORANG gadis terpaksa menanggung sakit selepas pipi kanannya hampir ditembusi pemutar skru yang dibaling abang iparnya dalam kejadian di Kampung Tanjung Aru Lama, Kota Kinabalu, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa berusia 24 tahun dikatakan baru selesai mandi dan terdengar bunyi bising dari bilik tidur kakaknya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, mangsa kemudian menjenguk ke dalam bilik itu dan bertanyakan apa yang berlaku kerana bimbing keselamatan kakaknya.

"Abang ipar mangsa kemudian tidak puas hati dengan tindakan mangsa kerana masuk campur urusan rumah tangganya.

"Tiba-tiba suspek membaling pemutar skru ke arah mangsa dan terkena pada pipi kanannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pemutar skru yang digunakan suspek membaling adik iparnya hingga terkena pipi kanan mangsa.
Pemutar skru yang digunakan suspek membaling adik iparnya hingga terkena pipi kanan mangsa.

Habibi berkata, mangsa kemudian menarik pemutar skru dari pipinya menyebabkan banyak darah yang keluar.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan dan pemeriksaan pada pipi mangsa didapati luka yang dalam.

"Pada hari yang sama kejadian, jam 8.30 malam, suspek berusia 34 tahun itu ditahan dan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, alat pemutar skru yang digunakan ketika kejadian turut dirampas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang berbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 3:30 PM