Jawahar menyerahkan sumbangan kepada warga emas di Kuala Lumpur. Foto Restoran Ali Maju
Jawahar menyerahkan sumbangan kepada warga emas di Kuala Lumpur. Foto Restoran Ali Maju
Oleh Yusmizal Dolah Aling

SEJAK 25 tahun lalu, menjadi rutin kepada usahawan ini untuk memberi sumbangan kepada golongan memerlukan di bulan Ramadan dan meraikan mereka dalam majlis berbuka puasa.

Namun, tahun ini amat berbeza kerana penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan bantuan diberikan dalam bentuk normal baharu.

Itu yang dilakukan Pengerusi Eksekutif Rangkaian Restoran Ali Maju Datuk Jawahar Ali Taib Khan yang meneruskan sumbangan kepada mereka yang kurang berkemampuan khususnya yang tinggal di Wangsa Maju.

Katanya, berbeza daripada amalan biasa, tahun ini sumbangan dibuat di hadapan restorannya dengan mereka yang datang, hanya perlu mengambil barangan keperluan asas yang sudah siap dibungkus.

"Sama juga dengan prosedur operasi standard (SOP) untuk restoran sebelum ini iaitu secara bungkus dan bawa pulang.

"Alhamdulillah, sumbangan ini kita mulakan seawal PKP Mac lalu dan berakhir semalam," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 2,500 pek barangan asas sudah disumbangkan menerusi kerjasama bersama agensi kerajaan termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan aktivis masyarakat termasuk yang turut membantu.

Menurutnya, walaupun berdepan penularan wabak, program berkenaan tetap diteruskan dengan cara tersendiri untuk meringankan beban mereka terutama yang terkesan dengan PKP.

"Ada yang datang bersama anak yang sakit, warga emas dan ibu tunggal. Ada juga sebelum ini menerima sumbangan setiap tahun, cuma kali ini saya tidak dapat meraikan mereka di dalam majlis seperti biasa.

"Insya-Allah, jika ada rezeki, saya akan teruskan pemberian sumbangan ini pada masa depan untuk berkongsi rezeki yang ada ini dengan orang ramai," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 3:44 PM