Isma Ismail dan Yusmizal Dolah Aling


TEMU duga untuk pengambilan pekerja di negara ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu dijalankan secara dalam talian.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sudah dilaksanakan di banyak negara termasuk di Malaysia.

"Temu duga saya rasa zaman sekarang ini boleh dilakukan secara dalam talian, banyak negara sudah melakukannya, termasuk Malaysia. Jadi saya harap teruskan temu duga secara dalam talian.

"Bagi mereka yang mendapat tawaran pekerjaan dan perlu melaporkan diri, mereka boleh ke balai polis untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan pekerjaan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Ditanya berhubung tindakan ibu bapa membawa anak-anak beriadah di taman permainan, Ismail Sabri berkata, sebarang tindakan perkumpulan termasuk riadah masih dikategorikan dalam senarai negatif

"Kalau kita bawa anak kita satu atau dua orang, tidak ramai di situ, perkara itu termasuk dalam riadah.

"Seperti juga saya kata memancing, boleh dianggap sebagai riadah, tetapi kalau di kolam yang biasanya tempat pertandingan memancing itu tiba-tiba ramai, padat... walaupun dibenarkan tetapi berlaku perhimpunan ramai itu menyebabkan ia tak boleh kerana salah dari segi prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Menurutnya, ibu bapa perlu sedar mendedahkan anak-anak di tempat terbuka dan ramai orang boleh menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini kepada mereka.

Katanya, penjarakan sosial tidak mungkin berlaku di tempat yang ramai tanpa mengetahui status mereka bebas Covid-19 atau sebaliknya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 3:48 PM