MAJLIS Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) tidak digalakkan menziarahi tanah perkuburan pada Aidilfitri esok. FOTO MOHD RAFI MAMAT
MAJLIS Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) tidak digalakkan menziarahi tanah perkuburan pada Aidilfitri esok. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


UMAT Islam tidak digalakkan menziarahi tanah perkuburan di negeri ini pada Aidilfitri, esok bagi mengelak berlaku perhimpunan orang ramai.

Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, keputusan dibuat bagi mengelakkan berlaku pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurutnya, sebelum ini keputusan sama dicadangkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah apabila tidak menggalakkan umat Islam menziarahi tanah perkuburan.

Katanya, pihaknya percaya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) mungkin tidak dapat dielakkan ketika menziarahi tanah perkuburan kelak.

"Saya berharap umat Islam dapat menangguhkan menziarahi tanah perkuburan sehingga tamat PKPB atau apabila situasi negara kembali pulih daripada wabak Covid-19.

"Berdasarkan hukum syarak, amalan ziarah kubur adalah sunat dan boleh dilakukan tanpa terikat pada Aidilfitri atau Aidiladha," katanya dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKPB, umat Islam perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan terutama menjaga penjarakan sosial, tidak berlaku perhimpunan dan menjaga kebersihan.

Katanya, pihaknya difahamkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan membuat rondaan di kawasan perkuburan bagi memastikan tidak berlaku pelanggaran PKPB.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 4:39 PM