Motosikal yang disita polis dan aksi dilakukan penunggang motosikal di AKLEH dan DUKE awal pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Motosikal yang disita polis dan aksi dilakukan penunggang motosikal di AKLEH dan DUKE awal pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin

PELAJAR tingkatan empat antara enam individu yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Kuala Lumpur awal pagi hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, seramai 12 pegawai serta anggota diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod terbabit dalam operasi bermula pada 11 malam hingga 3 pagi itu.

"Pelajar lelaki berkenaan ditahan di AKLEH kerana melakukan aksi 'wheelie', manakala lima lagi lelaki berusia antara 16 hingga 47 tahun ditahan di DUKE kerana menunggang secara merbahaya dengan mempamerkan aksi 'superman', 'zig zag' dan bersaing sesama sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkefly berkata, tiga daripada lima lelaki yang ditahan itu didapati tidak mempunyai lesen.

"Mereka juga melakukan kesalahan lain membabitkan pengubahsuaian motosikal seperti mengubah sistem enjin untuk menambah kelajuan dan ubah suai ekzos yang mempunyai bunyi kuat.

"Selain itu, ada antara mereka yang menggunakan tayar motosikal lebih kecil serta tidak memiliki cermin sisi serta lampu depan dan belakang," katanya.

Katanya, semua suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 4:41 PM