GRADUAN Universiti Monash, Australia, Ainul Syafiqah Mohd Azahari, 24, memanfaatkan masa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dengan menghasilkan kad ucapan hari raya dan mula menjualnya di pelbagai platform media sosial, sejak 11 Mei lalu. FOTO BERNAMA
GRADUAN Universiti Monash, Australia, Ainul Syafiqah Mohd Azahari, 24, memanfaatkan masa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dengan menghasilkan kad ucapan hari raya dan mula menjualnya di pelbagai platform media sosial, sejak 11 Mei lalu. FOTO BERNAMA
BERNAMA

TRADISI menghantar kad ucapan Hari Raya sebagai pengganti diri pada Aidilfitri masih lagi mendapat tempat dalam kalangan sebahagian perantau.

Walaupun amalan itu hampir 'pupus' ditelan kiriman ucapan menggunakan kad elektronik atau secara dalam talian namun masih ada mengekalkan tradisi itu.

Antaranya Dr Siti Haura Sahbudin, 31, yang bertugas di University of Melbourne - Shepparton Medical Centre, Australia, menganggap ucapan yang dititip melalui kad ucapan 'lebih istimewa'.

"Tahun ini, saya tidak dapat beraya di Nilai bersama keluarga saya manakala suami pula berada di Klang, Selangor.

"Sebelum ini, setiap kali perayaan, saya akan pulang ke Malaysia namun disebabkan Covid-19 ini, hasrat untuk balik menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan suami tidak kesampaian," kata Doktor Perubatan Keluarga itu yang tidak dapat pulang berhari raya.

Mengakui sangat sedih kerana terpaksa berjauhan daripada keluarga pada hari mulia ini, Dr Siti Haura akur dan memilih kelainan dengan mengirimkan kad ucapan Hari Raya sebagai penganti diri, sekali gus boleh disimpan sebagai kenangan.

"Bagi saya ia sesuatu yang cukup bermakna meskipun terdapat pelbagai pilihan lain seperti kiriman ucapan menerusi aplikasi WhatsApp. Ia juga sebagai kenangan untuk saya memandangkan ini pertama kali saya tidak dapat balik beraya di kampung halaman akibat Covid-19," katanya.

Pun begitu katanya, penggunaan aplikasi seperti panggilan video untuk berhubung dengan keluarga masih akan terus digunakan bagi melepaskan kerinduan di perantauan.

Bagi Ainul Syafiqah Mohd Azahari, 24, pula, diamemanfaatkan masa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini untuk menghasilkan kad ucapan Hari Raya dan mula menjualnya di pelbagai platform media sosial, sejak 11 Mei.

Dia berkata, idea menghasilkan kad ucapan dalam pelbagai warna ceria dan ucapan yang menyentuh hati itu timbul bagi mengembalikan nostalgia lama seperti yang pernah dirasainya suatu ketika dahulu.

"Saya sememangnya seorang pengumpul kad ucapan Hari Raya dan saya seperti ingin mengembalikan kenangan semasa menyambut Hari Raya ketika zaman persekolahan apabila kita sering berbalas kad kepada keluarga dan rakan-rakan," katanya.

Graduan Universiti Monash, Australia yang kini menetap di Seremban itu, berkata tempahan kad ucapan itu yang hanya dibuka selama tiga hari berjaya mendapat tempahan daripada mereka yang tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga termasuk Dr Siti Haura.

Ainul Syafiqah berkata, kad yang dihasilkan 100 peratus buatan tangan dan turut diserikan dengan tata rias tulisan berseni serta disulami kata-kata indah puisi yang turut terselit mesej PKP seperti #stayathome dan #socialdistancing bagi membantu memutuskan rantaian Covid-19.

"Saya menghasilkan tiga jenis versi kad ucapan yang dinamakan Jalur Lintang, Dua Jalur dan Jalur Tiga," katanya yang merancang akan terus menghasilkan pelbagai kad ucapan seperti kad ucapan ulang tahun kelahiran serta ulang tahun sesuatu peristiwa untuk dijadikan pendapatan sampingan.- Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 4:45 PM