Dua penunggang motosikal cedera melanggar penghadang jalan konkrit di tengah jalan selepas disyaki cuba merentas negeri tanpa kebenaran di jalan minitar dekat Pida 7 - Chemumar, sempadan Kedah - Perlis di daerah ini pagi tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Dua penunggang motosikal cedera melanggar penghadang jalan konkrit di tengah jalan selepas disyaki cuba merentas negeri tanpa kebenaran di jalan minitar dekat Pida 7 - Chemumar, sempadan Kedah - Perlis di daerah ini pagi tadi. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


DUA penunggang motosikal cedera akibat melanggar penghadang jalan konkrit di tengah jalan ketika dipercayai cuba merentas negeri tanpa kebenaran di jalan mini tar dekat Pida 7-Chemumar, Arau, hari ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, dalam kejadian 4.15 pagi, pihaknya gagal mengesan dua individu itu dan hanya memperoleh maklumat daripada penduduk.

Menurutnya, penghadang itu sebelum ini diletakkan bagi menghalang pihak tertentu melakukan pergerakan rentas sempadan menggunakan jalan tikus.

Bagaimanapun, katanya, individu tidak bertanggungjawab dipercayai mengalihkan papan tanda amaran sehinggakan dua penunggang terbabit tidak sempat berhenti sebelum merempuh penghadang terbabit.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua motosikal itu ditunggang dengan laju dan mereka tidak sempat memperlahankan kenderaan sehingga merempuh penghadang berkenaan.

"Polis sedang mengenal pasti individu terbabit selepas menemui motosikal ditinggalkan dalam keadaan remuk dan rosak di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, salah seorang daripada mangsa dipercayai cedera di dahi kiri, namun keadaan seorang lagi mangsa tidak diketahui.

"Perkara ini masih dalam siasatan dan saya meminta orang ramai tidak bertindak sesuka hati dengan mengalihkan papan tanda amaran berhubung penutupan jalan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 5:53 PM