KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semasa sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir
Saipul Adli Mohamad dan Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


MALAYSIA akan terus menjalankan penyelidikan bagi mengenal pasti lebih banyak karektor Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Covid-19 adalah virus yang menjadikan paru-paru sebagai 'medan perang' dengan antibodi manusia.

Menurutnya, selain menyerang sistem pernafasan, pandemik ini juga berupaya menyebabkan pembekuan saluran darah sehingga mampu merosakkan jantung dan buah pinggang.

"Mereka yang mengidap kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi antara golongan berisiko tinggi selain warga emas.

"Virus ini juga boleh membantutkan 20 hingga 30 peratus daya tahan badan terutamanya warga emas. Mereka yang mempunyai daya tahan lemah lebih terdedah," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia masih membuat kajian sama ada wujud perbezaan kebarangkalian jangkitan membabitkan lelaki dan wanita.

"Ini berkaitan dengan ketahanan tubuh masing-masing. Selepas dijangkiti, kita patut ada imuntiti untuk tahan serangan kedua tapi kami dapati ia tidak mencukupi.

"Dua faktor penting adalah penemuan vaksin dan ubat yang mampu merawat penyakit ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 6:11 PM