X
SUKARELAWAN Dapur Kampung Prihatin Kampung Pulau Manis, Serada sedang menguruskan ikan tongkol yang akan diagihkan kepada penduduk kampung sempena perayaan Aidilfitri. FOTO IHSAN PEMBACA
SUKARELAWAN Dapur Kampung Prihatin Kampung Pulau Manis, Serada sedang menguruskan ikan tongkol yang akan diagihkan kepada penduduk kampung sempena perayaan Aidilfitri. FOTO IHSAN PEMBACA
Ahmad Rabiul Zulkifli


DAPUR Kampung Prihatin Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu menyumbang 300 kilogram (kg) ikan tongkol kepada penduduk di kampung itu bersempena Aidilfitri, esok.

Ikan tongkol atau lebih dikenali dengan panggilan ikan aya di pantai Timur itu diagihkan kepada 300 keluarga bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari, hari ini.

Penyelarasnya Mohd Rafi Kori berkata, ikan tongkol itu sinonim dengan sambutan Aidilfitri di kampung itu kerana dihidangkan sebagai lauk untuk beberapa menu di pagi 1 Syawal secara turun-temurun.

"Jika di tempat lain menu pagi raya yang dihidangkan seperti ketupat, lemang atau sate tetapi berlainan di Kampung Serada yang menghidangkan nasi dagang, nasi kebuli atau nasi kuning.

"Semua hidangkan itu mengggunakan ikan tongkol sebagai lauk utama lalu mendorong kami untuk mengagihkan ikan berkenaan," katanya.

Katanya, ikan sumbangan orang ramai dan peraih di Terengganu serta Kuantan itu turut diagihkan kepada penduduk Kampung Tanjung Ketom, Kampung Banggol Karah dan Banggol Kemang.

"Kita juga menyalurkan duit raya RM4,500 kepada 200 keluarga terpilih di kampung berkenaan dengan harapan membantu mereka membuat persiapan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 7:24 PM