BERNAMA

BAIT lagu raya malar segar dendangan Allahyarham Ahmad Jais berjudul Selamat Hari Raya menjadi pilihan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menitipkan ucapan Aidilfitri buat semua rakyat Malaysia yang akan disambut esok.

Dalam Perutusan Khas Aidilfitri Perdana Menteri malam ini, beliau berkata, walaupun tidak pandai mendendangkan lagu itu, namun setiap bait lirik itu sentiasa diingatinya setiap kali menjelang lebaran.

"Selamat hari raya, Aidilfiri mulia, ampun maaf dipinta mensuci hening dosa. Setahun menghilang, sekarang menjelang, hari yang bahagia, selamat hari raya.

"Saya, isteri dan seisi keluarga ingin mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri maaf zahir batin kepada saudara saudari sekalian dan semua umat Islam di mana jua anda berada," katanya.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad semalam mengumumkan umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok.

Buat pertama kali, Aidilfitri kali ini disambut dengan normal baharu apabila negara sedang dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Raya Aidilfitri, malam ini.
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan Perutusan Khas sempena Hari Raya Aidilfitri, malam ini.

Dalam perutusan sama, Perdana Menteri turut menarik perhatian tempoh fasa PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak memberi hikmah kepada rakyat Malaysia termasuk keluarganya.

Beliau berkata sebulan menjalankan ibadah solat tarawih di rumah, beliau menjadi imam dan anaknya menjadi bilal manakala isteri, ahli keluarga lain dan pembantu rumahnya menjadi makmum.

"Semua ini ada hikmahnya, setelah sebulan bertarawih di rumah bersama ahli keluarga, ramai bapa sudah pandai jadi imam, anak lelaki jadi bilal dan isteri serta anak lain jadi makmum.

"Saya pun jadi imam di rumah, dan anak bongsu saya Farhan jadi bilal. Isteri dan ahli keluarga lain dan pembantu rumah jadi makmum," katanya.


Beliau berkata, amalan bertadarus al-Quran bersama ahli keluarga menjadi kebiasaan pada tempoh ini dan beliau percaya ia akan menjadi pengerat hubungan kasih sayang sesama ahli keluarga.

Menurutnya, mereka yang tidak berpeluang ke masjid dan surau untuk solat hari raya berjemaah, amalan solat berjemaah bersama keluarga boleh diteruskan, selain akan menghidupkan kegembiraan dan rasa syukur sebaik selesai berpuasa dengan alunan takbir hari raya.

"Walaupun Aidilfitri kali ini disambut berbeza tanpa rumah terbuka, kenduri atau kehadiran sahabat handai namun ia bukan alasan untuk ia tidak disambut meriah dan gembira.

"Wujudkanlah suasana kemeriahan dan kegembiraan sambutan Aidilfitri bersama ahli keluarga kita.

"Begitu juga bagi mereka berada di rumah anak yatim dan rumah kebajikan, saya yakin ramai petugas dan sukarelawan berhati mulia akan berusaha mewujudkan suasana kegembiraan menyambut Aidilfitri dalam kalangan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 9:31 PM