HAFIZULLAH Zamri (tiga dari kanan) mengetuai laungan takbir raya bersama keluarga di Felda Pasoh Tiga, Jempol, malam ini. FOTO AMRAN YAHYA.
HAFIZULLAH Zamri (tiga dari kanan) mengetuai laungan takbir raya bersama keluarga di Felda Pasoh Tiga, Jempol, malam ini. FOTO AMRAN YAHYA.
Amran Yahya


MEMASUKI 1 Syawal memberi sedikit kelegaan kepada golongan bapa apabila mereka selesai menjadi imam solat terawih selama 30 malam berturut-turut.

Namun, gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, mereka memikul tanggungjawab mengepalai laungan takbir hari raya sebelum menjadi imam solat Aidilfitri esok.

Suasana takbir malam raya kali ini agak berbeza kerana hanya dibuat di rumah sendiri berbanding takbir rumah ke rumah.

Hafizullah Zamri Zainuddin, 40, berkata takbir di rumah sendiri ada kelainan kerana dapat menghimpunkan ahli keluarga dan adik beradik untuk sama-sama melaungkan takbir.

"Takbir raya malam ini ada 'feel' yang tersendiri kerana semua bertakbir adalah ahli keluarga kami yang menetap di Negeri Sembilan.

"Suasana sayu pasti terasa apabila terkenang ada adik beradik tidak dapat pulang ke kampung disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Selain itu, takbir di rumah sendiri lebih santai. Jika rumah ke rumah, selalunya tergesa-gesa kerana memikirkan banyak rumah yang perlu dikunjungi," katanya ketika ditemui di Felda Pasoh 3, Jempol.

Hafizullah Zamri berkata, selalunya takbir dari rumah ke rumah mengambil masa agak lama bergantung kepada jumlah rumah mengambil bahagian.

"Ada kalanya saya bertakbir hingga melewati 2 pagi kerana selesai sahaja takbir akan diikuti dengan doa serta jamuan ringan.

"Kalau di rumah sendiri, takbir tiga pusingan sudah memadai dan diikuti dengan doa dan tahlil ringkas.

"Seperti malam ini, kami selesai bertakbir tepat 9.15 malam dan selepas itu bolehlah kami beristirehat sambil menonton televisyen, menggosok baju atau melayan anak bermain bunga api," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 10:03 PM