HUSAIN (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan TKHM 2020 Ramadan kepada Abdullah (dua dari kanan) bersama Suhaimi (dua dari kiri), Noor Azliza dan Noor Azam (kanan) di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
HUSAIN (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan TKHM 2020 Ramadan kepada Abdullah (dua dari kanan) bersama Suhaimi (dua dari kiri), Noor Azliza dan Noor Azam (kanan) di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan. FOTO Mohd Azren Jamaludin

PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara bukan saja memberi kesan kepada kehidupan masyarakat kerana terpaksa mengamalkan normal baharu malah ia mengusik jiwa golongan warga emas yang ditempatkan di rumah kebajikan.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pihak pengurusan rumah kebajikan terpaksa menggunakan pendekatan 'tutup pintu' dan memujuk mereka supaya tidak bertemu dengan keluarga terdekat bagi mengelakkan risiko jangkitan virus membawa maut itu.

Itulah antara cabaran besar terpaksa dilalui 20 petugas pengurusan Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan di Kempas, Johor Bahru sejak pelaksanaan PKP selain berdepan kerenah ahli keluarga yang 'berkeras' mahu melawat orang tua mereka.

Pusat jagaan warga emas itu terpilih sebagai satu daripada 13 rumah kebajikan yang menerima sumbangan program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2020.

Program berkenaan mendapat kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT2).

Pembantu pusat jagaan, Abdullah Ibrahim, 65, berkata, ada tiga kategori golongan warga emas menetap di situ iaitu secara tetap serta dibiayai ahli keluarga dan mereka boleh mengambil atau melawat pada masa ditetapkan.

Katanya, golongan kedua pula warga emas gelandangan yang tidak mempunyai waris dan golongan ketiga pula dihantar oleh anak secara harian kerana bekerja.

"Sebaik saja PKP, pihak kami tidak membenarkan pergerakan keluar dan masuk warga emas. Golongan ini berisiko tinggi berdepan wabak Covid-19.

"Kami maklumkan kepada semua anak warga emas di sini supaya tidak datang mengambil atau bawa keluar walaupun dalam tempoh sekejap. Kami tidak benarkan langsung, tetapi ada anak datang melihat dari jauh.

"Ada satu kes, si bapa tinggal secara harian dan sebaik PKP umum anaknya hendak ambil dan jaga sendiri di rumah kerana dia tidak bekerja sepanjang PKP. Pihak kami benarkan, tetapi dia tidak boleh menghantar si bapa ke sini selagi ada PKP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi lawatan wakil TKHM dan penyampaian barangan keperluan yang diketuai Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit.

Hadir sama Pengurus Seksyen S5/S6 Wilayah Selatan PLUS Suhaimi Samat, Ketua Unit Komuniti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Noor Azliza Ismail dan Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz.

Abdullah berkata, berhubung aktiviti penghuni warga emas di situ, kebiasaannya mereka mereka sebelum ini sibuk dan seronok memenuhi undangan majlis berbuka puasa dan tahun ini suasananya berbeza.

Kata Abdullah, mereka kini hanya duduk di pusat jagaan dan melakukan aktiviti dalaman serta mengikuti program rohani disusun pihak pengurusan.

"Aktiviti memang kurang, paling tidak berbuka puasa bersama penghuni sahaja. Tetapi mereka boleh berjalan di pekarangan pusat ini dan ada juga aktiviti membuat karipap sejuk beku bagi penghuni wanita dan majlis berbuka puasa bersama," katanya.

Berhubung sumbangan TKHM diterima, katanya ia menggembirakan warga emas di situ dan ia cukup bermakna buat mereka terutamanya bagi menampung keperluan operasi dan persediaan menyambut Syawal.

"Sumbangan ini menggembirakan kami di sini, ia boleh dimanfaatkan untuk menjalankan operasi terutamanya dalam menguruskan warga emas yang memerlukan perhatian," katanya.

Sementara itu, Husain pula berkata TKHM Ramadan 2020 yang mendapat kerjasama PLUS dan LPT2 membantu rumah kebajikan terpilih dengan menyalurkan dana terkumpul RM65,000.

"TKHM kali ini berbeza, kalau sebelum ini kita anjurkan kenduri, bawa anak yatim ke pusat beli- belah untuk persiapan raya, tetapi disebabkan pandemik Covid-19 ini kita ubah pendekatan.

"Semua 13 rumah kebajikan di Semenanjung ini dipilih PLUS selepas disenaraikan oleh JKM, kita bahagikan kepada wilayah utara, selatan, timur dan tengah.

" Kali ini kita pergi ke rumah kebajikan bagi setiap wilayah bagi simbolik menyerahkan bantuan. Manakala bagi sumbangan tunai kita akan terus masukkan ke akaun bank rumah kebajikan terbabit bagi mengurangkan pergerakan," katanya.

Menurutnya, ini tahun kedua TKHM bekerjasama dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk membantu masyarakat memerlukan dalam serba kekurangan supaya dapat menjalani ibadah puasa dengan ceria.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 9:50 AM