Audrey Dermawan


KEMERIAHAN hari pertama Syawal yang diraikan penduduk di kediaman masing-masing dekat Ayer Hitam, Georgetown hari ini menerima kunjungan 'tetamu istimewa'.

Lengkap berpakaian seragam, 'tetamu istimewa' yang terdiri daripada anggota polis dan tentera itu hadir bagi membuat pemeriksaan mengejut terhadap tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari rumah ke rumah pagi hari ini.

Ketua Polis Balai Ayer Hitam Asisten Superintendan Mohamad Fazly Abdullah berkata, pemeriksaan itu membabitkan kira-kira 200 kediaman, malah pihak berkuasa memberikan nasihat berkaitan kepada seisi keluarga untuk sentiasa mematuhi SOP ketika musim perayaan.

Berdasarkan perangkaan semasa, katanya, hampir 40 peratus daripada keseluruhan kediaman dalam kawasan mengikut bidang kuasanya terdiri daripada keluarga Melayu.

"Kita melakukan rondaan di kawasan kejiranan berkaitan untuk memastikan masyarakat mematuhi SOP PKPB.

"Setakat ini, kita berpuas hati dengan kadar pematuhan masyarakat, sekali gus mencerminkan bahawa mereka sedar mengenai bahaya Covid-19 dan bertanggungjawab untuk menangani penularan jangkitan wabak berkenaan," katanya.

KETUA Balai Polis Air Itam, Asisten Superintendan Mohamad Fazly Abdullah (tiga dari kanan) bersama anggotanya dan tentera menjalankan tugas pemeriksaan dari rumah ke rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kampung Masjid, Air Itam di sini. Pemeriksaan untuk mengesan individu yang ingkar apabila pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri, serta pematuhan PKPB. FOTO DANIAL SAAD
KETUA Balai Polis Air Itam, Asisten Superintendan Mohamad Fazly Abdullah (tiga dari kanan) bersama anggotanya dan tentera menjalankan tugas pemeriksaan dari rumah ke rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kampung Masjid, Air Itam di sini. Pemeriksaan untuk mengesan individu yang ingkar apabila pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri, serta pematuhan PKPB. FOTO DANIAL SAAD

Sementara itu, seorang pesara, Zainudin Mat, 57, menyatakan kegembiraan terhadap kehadiran anggota pihak berkuasa yang mengendalikan pemeriksaan dari rumah ke rumah.

"Kita faham mengapa pemeriksaan seperti ini harus dilakukan. Kita berterima kasih kepada polis dan anggota tentera yang terus berkorban untuk memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

"Tidak dinafikan, kehadiran mereka membuatkan kita selamat dan terjamin, malah ia tugas pihak berkuasa untuk memantau pematuhan peraturan ketika PKPB.

"Sebagai sebuah keluarga, saya mengambil tanggungjawab untuk memastikan had jumlah tetamu yang dibenarkan untuk aktiviti ziarah ketika musim perayaan sentiasa dipatuhi," katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata polis dan tentera akan melakukan pemeriksaan ke rumah ketika musim perayaan bagi memantau tahap pematuhan PKPB dan SOP dalam kalangan masyarakat.

Seiring kelonggaran yang diberikan, aktiviti ziarah dibenarkan hanya pada hari pertama Aidilfitri, selain membabitkan 20 tetamu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 3:08 PM