Suraya Roslan


KEBOLEHAN satu keluarga India menyanyikan lagu Hari Raya sambil memainkan beberapa alat muzik menarik perhatian netizen, hari ini.

Pengarah Artistik di Akademi Unique Arts, Abisheg M berkata, video berdurasi satu minit 28 saat itu ditujukan khas kepada semua rakyat Malaysia sempena sambutan Aidilfitri hari ini.

"Lagu itu diberi nafas baru daripada filem Hindi hitam putih terkenal, Bhai Bhai bertajuk Ae Dil Mujhe Bata De.

"Lirik khas ditulis semula dengan tema 'lockdown' oleh V Savithri Velaithan dan dinyanyikan bersama-sama dengan anak perempuannya Prishavardhani," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia membuat sendiri muzik dengan pengolahan baharu itu secara harmoni bersama ahli keluarga lain.

Katanya, lagu itu mengenai situasi semasa ketika masyarakat Islam menyambut perayaan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Walaupun kami bukan beragama Islam, setiap tahun kita merasai Hari Raya dan tahun ini kami tidak dapat menziarahi rakan, menghadiri rumah terbuka, melawat Bazar Ramadan dan tidak berpeluang berjabat tangan berkongsi kasih sayang dengan mesra secara fizikal.

"Kami merindui semua suasana ini dan disebabkan itu kami tujukan khas lagu berkenaan sebagai tanda mesra dan perpaduan," katanya.

Ditanya adakah mereka terdiri daripada satu keluarga, Abisheg menjawab, ya tetapi tidak mengulas lanjut mengenai hubungan masing-masing.

"Ya, kami satu keluarga. Saya dan Savithri mentadbir Akademi Seni.

"Dia adalah rakan akademi saya dan kami tinggal di rumah yang sama selama 16 tahun," katanya.

Video nyanyian mereka tular di sosial media dan rata-rata netizen kagum dengan lirik dan kefasihan bahasa Melayu keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 6:15 PM