PIHAK berkuasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di kawasan perumahan sempena Ops PKPB Aidilfitri di Felda Pasak, Kota Tinggi, hari ini. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
PIHAK berkuasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di kawasan perumahan sempena Ops PKPB Aidilfitri di Felda Pasak, Kota Tinggi, hari ini. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Nurul Amanina Suhaini


RATA-RATA penduduk sekitar Kota Tinggi patuh kepada arahan untuk tidak menerima lebih 20 tetamu pada hari pertama sambutan Aidilfitri.

Tinjauan di beberapa kampung dan taman perumahan termasuk Taman Sri saujana, Felda Pasak dan Kampung Lukut, mendapati kebanyakan rumah lengang selain penduduk meraikannya dalam keadaan tertutup.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menubuhkan tiga pasukan khas bagi memantau pelanggaran syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Keseluruhannya saya berpuas hati terhadap pematuhan masyarakat di daerah ini. Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Tinggi tidak menerima sebarang laporan mengenai pelanggaran SOP.

"Walaupun ada segelintir masyarakat atau individu kadang lupa PKPB ini masih berkuatkuasa, namun untuk kebaikan bersama pematuhan itu masih dituruti.

"Operasi dari rumah ke rumah dilaksanakan tiga pasukan itu membabitkan zon Kota Tinggi, zon Pengerang dan zon Bandar Tenggara dan pada masa sama orang ramai digalakkan memberi respon bagi mengekang wabak Covid-19 ini," katanya ketika ditemui di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, 47 saman dikeluarkan kepada individu melanggar PKPB termasuk pembabitan dengan kegiatan lumba haram.

Katanya, selain itu, sebanyak 27 arahan tutup premis perniagaan dikeluarkan agensi penguat kuasa susulan tidak mematuhi SOP termasuk ketidakpatuhan kepada penjarakan sosial.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2020 @ 6:23 PM