Syaherah Mustafa


"SEBAIK mendengar takbir raya pagi semalam, dia menangis teresak-esak memberitahu rasa sedih kerana terpaksa beraya di atas katil tahun ini," kata Zamilah Setapa, 47, ibu kepada pesakit kanser limfoma, Che Mohd Azmi Che Hassan, 24.

Che Mohd Azmi yang juga anak sulung daripada lima beradik menderita penyakit itu sejak Disember lalu, namun hanya terbaring kerana keadaan kesihatannya merosot.

Zamilah berkata, setiap kali mendengar takbir raya di televisyen, Azmi akan menangis kerana sedih dengan keadaan dirinya.

Menurutnya, berikutan itu dia bersama suami, Che Hassan Che Kob, 53, terpaksa menasihati agar bersabar dengan ujian Tuhan.

"Bermula dengan hanya ketulan kecil di leher pada Jun tahun lalu, saya tidak sangka ia adalah kanser yang merubah kehidupan Azmi sehingga berat badannya susut ke 35 kilogram (kg) berbanding 80 kg sebelum ini.

"Azmi sudah menjalani pembedahan membuang ketulan di lehernya, namun keadaan menjadi semakin teruk apabila lukanya semakin membesar sehingga ke bahu, selain dia menjadi pelat apabila bertutur.

"Sejak Februari lalu, tahap kesihatannya semakin merosot dan hanya terbaring menyebabkan kami perlu memberi perhatian penuh kepadanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gunung Reng, Jeli.

ZAMILAH dan Che Hassan menjaga Che Mohd Azmi yang menderita kanser Limfoma tahap empat. FOTO Syaherah Mustafa
ZAMILAH dan Che Hassan menjaga Che Mohd Azmi yang menderita kanser Limfoma tahap empat. FOTO Syaherah Mustafa

Zamilah berkata, sebaik kisah anaknya tular di media sosial, baru-baru ini, ada wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tampil membantu dan bersedia memberi bantuan setiap bulan.

Katanya, dia tidak bekerja manakala suami hanya menoreh getah dengan pendapatan tidak menentu menyebabkan mereka buntu kerana perlu menampung keperluan lampin pakai buang serta susu khas untuk Azmi yang mencecah lebih RM1,000 sebulan.

"Semalam, ramai kawan-kawan anak yang datang beraya untuk melawatnya. Sayu hati apabila melihat Azmi hanya mampu menangis malah memberitahu kawannya bahawa dia sedih tidak dapat melayan mereka seperti sebelumnya.

"Sebelum ini dia seorang periang, ramah dan petah berbicara selain aktif bermain bola sepak di kampung.

"Bagaimanapun, kami reda dengan ujian ini selain terus memberi semangat serta sokongan buat Azmi agar terus tabah melawan penyakitnya dan berdoa supaya dia boleh sihat seperti biasa," katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Che Hassan di talian 013-9700644 bagi menghulurkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 1:37 PM