Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KEPUTUSAN menangguhkan pelaksanaan solat Jumaat di masjid ketika Covid-19 adalah fatwa paling sukar pernah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, ini kerana ia adalah ibadah fardu, selain terpaksa berdepan penerimaan dalam kalangan umat Islam di negara ini yang tidak pernah menghadapi situasi berkenaan sebelum ini.

"Ia sesuatu yang sangat sukar memandangkan Perlis yang terawal, dan negeri lain belum mengeluarkan fatwa berhubung penangguhan solat Jumaat di masjid, malah dunia juga belum melaksanakannya.

"Tetapi Ahli Majlis Fatwa kita (Perlis) sudah berbincang dengan begitu sukar dan berfikir sehingga akhirnya dalil-dalil yang ada berpihak kepada penangguhan solat Jumaat di masjid bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk.

"Tetapi, Alhamdulillah dengan keputusan berkenaan Perlis diiktiraf sebagai negeri yang terawal diklasifikasi sebagai zon hijau dan kini ke arah zon putih," katanya dalam satu temubual menerusi rancangan Lebaran Awani, semalam.

Mohd Asri berkata, berbeza dengan solat sunat Aidilfitri, solat Jumaat adalah tuntutan lebih utama dan fardu, selain keputusan Majlis Fatwa Negeri Perlis berhubung penangguhan solat sunat Aidilfitri dilihat lebih mudah kerana hukumnya hanyalah sunat menurut pendapat Mazhab Syafie.

"Tetapi oleh kerana ada orang Melayu yang kebiasaannya meninggalkan solat Jumaat, tetapi menunaikan solat sunat Aidilfitri, maka mereka lebih terasa dan emosi serta sukar untuk menerimanya (penangguhan solat sunat Aidilfitri).

"Jadi bila Perlis buat keputusan ini, kita sudah melakukan persediaan awal terutama dengan langkah-langkah penerangan kepada umum," katanya.

Perlis adalah negeri terawal menangguhkan pelaksanaan solat Jumaat berbanding negeri lain berikutan pandemik Covid-19 sebelum beberapa negeri lain mengambil langkah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 2:46 PM