KEADAAN di sekitar Lebuh Pudu yang selalunya dipenuhi warga asing beriadah sempena hari perayaan kelihatan lengang ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan virus COVID-19. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
KEADAAN di sekitar Lebuh Pudu yang selalunya dipenuhi warga asing beriadah sempena hari perayaan kelihatan lengang ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan virus COVID-19. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Muhaamad Hafis Nawawi


LOKASI di sekitar Lebuh Pudu, Kuala Lumpur yang sebelum ini tidak ubah seperti 'mini Dhaka' apabila menjadi lokasi tumpuan warga asing terutama dari Bangladesh setiap kali cuti perayaan kelihatan lengang susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jika sebelum ini ribuan orang akan berkumpul dan melepak di kawasan itu sehingga menjadi sesak namun berlainan tahun ini apabila jumlahnya berkurangan.

Tinjauan wartawan Harian Metro hari ini, mendapati sepanjang laluan 100 meter itu hanya dikunjungi warga asing yang ingin membeli barang di kawasan itu.

Pasukan barisan hadapan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) turut dilihat mengadakan rondaan di kawasan itu.

Malah, laluan di situ juga tidak sesak seperti kelaziman ketika cuti perayaan.

Anggota APM yang ditemui berkata, mereka mengawal dan mengarahkan warga asing ini beredar jika ada yang datang untuk berkumpul tanpa sebab atau melepak di sini.

Menurutnya, kawasan ini menjadi lengang kerana barisan hadapan ada datang membuat rondaan dan mengarahkan mereka mereka beredar jika tiada perkara mustahak untuk berada di situ.

"Mereka hanya dibenarkan ke sini jika ingin membeli barangan keperluan dan diminta beredar jika tiada urusan.

"Kita perlu tegas kerana ingin menghalang daripada penularan Covid-19 di sini jika terlalu ramai warga asing berkumpul," katanya.

Tinjauan juga mendapati warga asing yang datang ke situ kebanyakannya memakai pelitup muka walaupun ada yang tidak menjaga jarak sosial ketika ingin membeli barangan.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang turut membuat tinjauan sendiri semalam di sekitar ibu kota mengakui kawasan tumpuan warga asing sebelum ini tidak ramai seperti sebelum ini.

"Semalam saya ada lalu dan tinjau di kawasan Kota Raya yang mana didapati tidak ramai warga asing berkumpul di situ," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 3:07 PM