GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

SERAMAI 207 daripada 13,929 pendatang tanpa izin yang ditahan di tiga Depot Tahanan Imigresen di Semenanjung Malaysia didapati positif jangkitan virus Covid-19.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, berkata, daripada jumlah itu, 110 daripadanya telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk mendapatkan rawatan.

"Baki pendatang yang positif jangkitan itu masih lagi berada di tiga buah Depot Tahanan Imigresen iaitu di Bukit Jalil, KLIA dan Semenyih," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengiringi lawatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ke pusat kuarantin berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Pada masa yang sama, katanya, seramai 238 pegawai imigresen yang bertugas di tiga depot tahanan terlibat dikenakan perintah kuarantin selama 14 hari dan tugas kawalan diambil alih pegawai imigresen negeri yang berkaitan.

Khairul Dzaimee memaklumkan setakat ini terdapat 14,496 pendatang tanpa izin di depot tahanan negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Ismail Sabri, berkata lawatannya ke pusat kuarantin itu bagi melihat kemampuan tempat berkenaan menampung pesakit Covid-19 jika jumlahnya meningkat.

Beliau berkata, pusat itu berkemampuan untuk menampung seramai 600 pesakit dan kerajaan telah pun mengenal pasti beberapa lagi pusat kuarantin lain untuk menempatkan pendatang tanpa izin ini jika bilangan mereka meningkat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 3:16 PM