Isma Ismail dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

RAKYAT Malaysia yang mahu pulang ke tanah air boleh memuat turun Surat Aku Janji dan Indemniti (LOU) dari laman sesawang Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bermula hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu bermula 1 Jun ini rakyat yang ingin pulang ke Malaysia perlu menandatangani LOU.

Menurutnya, setiap pemohon perlu menghantar dokumen berkaitan bersama-sama LOU lengkap ke e-mel Perwakilan Malaysia selewat-lewatnya tiga hari sebelum tarikh berlepas.

"Oleh itu, mereka boleh memuat turun LOU ini bermula hari ini dari laman sesawang Kementerian Luar dan Nadma.

"Empat agensi lain juga akan memuat naik LOU berkenaan dalam portal masing-masing dalam masa yang terdekat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)," katanya ketika sidang media hariannya di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, LOU itu selari dengan keputusan kerajaan untuk mengenakan caj 50 peratus kos kuarantin iaitu RM75 sehari kepada mereka yang pulang selepas 1 Jun nanti.

Katanya, ia juga membolehkan kerajaan membuat perancangan untuk memastikan pusat kuarantin mencukupi.

"Sehingga 8 pagi hari ini, sebanyak 270 Pusat Kuarantin beroperasi berbanding 271 pada hari sebelumnya, yang mana 13,997 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

"Semalam, seramai 299 rakyat Malaysia dari luar negara pulang ke tanah air dan menjalani kuarantin wajib," katanya.

Menurut beliau, seramai 40,716 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara sudah menjalani kuarantin wajib sejak 3 April lalu.

Katanya, seramai 33,092 individu sudah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang sehingga hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 3:20 PM