Nor Amalina Alias


HARI kedua sambutan Aidilifitri menjadi detik bersejarah buat warga emas, Yaacob Hassan, 77, dan Saudah Yaacob, 64, apabila selamat diijab kabul, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan Imam Tua Masjid Mukim Padang Bongor, Muhammad Nurul Amin Abdul Rahman kira-kira 10.30 pagi tadi.

Majlis hanya dihadiri anak-anak dan saudara seramai 20 orang mengikut peraturan ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Yaacob berkata, dia bersyukur kerana majlis itu dipermudahkan selepas menundanya sebanyak dua kali apabila wabak Covid-19 melanda negara.

"Saya turut menyerahkan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman sebagai hantaran kepada pengantin perempuan.

"Syukur kerana hasrat mendirikan rumah tangga berjaya dilaksanakan dan kami akan membuat majlis selepas keadaan pulih," katanya ketika ditemui di Kampung Desa Taqwa, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

Selain kehadiran tetamu dihadkan, majlis turut dijalankan dengan singkat sekitar 33 saat sahaja tanpa acara bersalaman ketika lafaz akad nikah.

Pengantin dan tetamu turut memakai pelitup muka, selain cecair pembasmi kuman disediakan kepada tetamu bagi memenuhi langkah pencegahan Covid-19.

Yaacob yang mempunyai 10 anak, 31 cucu dan dua cicit itu berkata, dia mengahwini adik arwah isterinya, Aminah yang meninggal dunia lima bulan lalu akibat kanser.

Katanya, dia memilih wanita itu kerana memahami dirinya selain mampu menjaganya dengan baik.

"Saya sendiri yang lahirkan hasrat nak kahwin dengan isteri (Saudah) untuk hilangkan rasa sunyi, dan anak-anak kami bersetuju," katanya.

Sementara itu, Saudah berkata, Yaacob memberitahu hasrat mahu memperisterikannya pada Mac lalu.

Katanya, bukan mudah dia menerima lamaran itu dan mengambil masa dua bulan untuk bersetuju selepas berbincang bersama empat anaknya berusia antara 42 hingga 34 tahun.

"Keluarga kami memang rapat, malah rumah pun dekat dan perkahwinan ini juga mengeratkan lagi hubungan dua keluarga," katanya yang kematian suami, empat tahun lalu.

Sementara itu, cucu Nur Azwaadiey Rosli, 25, berkata perkahwinan Yaacob atau Tok Ayah adalah hadiah Aidilfitri paling bermakna buat keluarga meskipun disambut berbeza kerana PKPB.

Katanya, perkahwinan itu dipersetujui supaya mereka dapat menemani dan menjaga satu sama lain memandangkan anak-anak bekerja selain masing-masing sudah berkeluarga.

Pasangan warga emas, Yaacob Hassan,77 dan Saudah Yaacob,64 selamat diijab kabul menyerahkan hantaran pelitup muka dan pembasmi kuman bagi mencegah wabak Covid-19 ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Desa Taqwa, Pengkalan Chepa. FOTO NOR AMALINA ALIAS
Pasangan warga emas, Yaacob Hassan,77 dan Saudah Yaacob,64 selamat diijab kabul menyerahkan hantaran pelitup muka dan pembasmi kuman bagi mencegah wabak Covid-19 ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Desa Taqwa, Pengkalan Chepa. FOTO NOR AMALINA ALIAS

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 3:31 PM