Isma Ismail dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


TAMAN Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang akan digunakan sebagai pusat kuarantin pendatang asing tanpa izin (Pati) yang disahkan positif Covid-19.

Ini susulan kewujudan kluster di tiga depoh tahanan imigresen masing-masing di Bukit Jalil, Semenyih dan Sepang membabitkan Pati yang ditahan atas kesalahan imigresen.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat tempatan yang dikuarantin di MAEPS dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh bermula hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, MAEPS akan dikawal ketat bagi memastikan mereka tidak melarikan diri.

"Seramai 4,342 Pati yang ditempatkan di tiga depoh tahanan akan disaring Covid-19 dan mereka yang positif akan dibawa ke MAEPS untuk rawatan dan kuarantin.

"Kawat duri juga dipasang di sekitar MAEPS untuk memastikan mereka tidak melarikan diri kerana sukar untuk pihak berkuasa mengesan mereka yang tidak memiliki dokumen perjalanan lengkap," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, bagi mengawal penularan, bukan saja Pati disaring tetapi pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia termasuk pihak luar seperti pembekal makanan akan menjalani prosedur sama.

Katanya, rakyat tidak perlu bimbang dengan kenaikan jumlah kes positif membabitkan warga asing di depoh tahanan kerana mereka dikawal ketat dan wabak itu sukar merebak di komuniti setempat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan diminta menyiasat dakwaan kekurangan makanan di Pudu, Kuala Lumpur.

Katanya, berdasarkan laporan bekalan makanan mencukupi di seluruh negara namun siasatan lanjut terhadap dakwaan itu akan dilakukan.

"Pudu bukan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) namun saya akan minta KPDNHEP siasat perkara ini," katanya.

PUSAT Kuarantin & Rawatan Covid-19 yang berisiko rendah di Maeps Serdang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
PUSAT Kuarantin & Rawatan Covid-19 yang berisiko rendah di Maeps Serdang. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 3:47 PM