X
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media hariannya di Putrajaya hari ini. Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media hariannya di Putrajaya hari ini. Foto Bernama
Isma Ismail dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

RUMAH ibadat agama selain Islam hanya dibenarkan beroperasi bermula 10 Jun ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai selepas pertemuan diadakan antara Kementerian Perpaduan Negara dan ketua wakil semua agama baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurutnya, rumah ibadat yang dibenarkan beroperasi kelak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan iaitu tidak boleh melebihi 30 orang.

"Namun kebenaran itu hanya tertakluk untuk aktiviti keagamaan pada hari penting saja.

"Upacara pengebumian juga dibenarkan namun tidak boleh melebihi 20 orang di kubur kerana tidak mahu perhimpunan dalam jumlah yang besar," katanya ketika sidang media hariannya di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri juga mengesahkan majlis perkahwinan yang tular di sebuah kuil semalam tidak mendapat kebenaran polis.

Menurutnya, polis juga akan menjalankan siasatan lanjut terhadap penganjur dan hadirin yang hadir dalam majlis berkenaan.

"Saya difahamkan polis sedang menjalankan siasatan terhadap penganjur termasuk mereka yang hadir dalam majlis perkahwinan berkenaan," katanya.

Terdahulu, video berdurasi satu minit yang memaparkan beberapa individu berkumpul dan mengadakan majlis perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan tular di media sosial.

Kejadian dikatakan disedari orang awam yang memandu di kawasan itu dan melihat deretan kereta di hadapan kuil serta orang ramai berkumpul di dalam kuil.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 4:33 PM