X
GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

PROSEDUR operasi standard (SOP) di taman asuhan kanak-kanak (taska) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tertakluk kepada arahan dari semasa ke semasa oleh Majlis Keselamatan Negara, atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, penjelasan mengenai pelaksanaan SOP taska akan dihuraikan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian COVID-19 hari ini.

"Saya sudah berhubung dengan KKM dan mereka akan membuat penjelasan kerana ia (SOP) disediakan melalui perbincangan bersama antara KPWKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan KKM.

"Kita sudah merujuk semula dengan KKM dan dimaklumkan pihak Ketua Pengarah Kesihatan akan menjelaskan perkara ini dalam laporan harian beliau.

"SOP (taska) itu tidak akan dikeluarkan tanpa nasihat dan rujukan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana ini membabitkan isu keselamatan dan kesihatan awam," katanya ketika ditemui semasa membuat kunjungan ke Wisma Bernama hari ini.

Rina berkata, dalam usaha negara memerangi Covid-19 dan memutuskan rantaian penularan wabak, setiap SOP yang digariskan adalah berpandukan nasihat pakar, khususnya pihak KKM.

"Kita hargai pengorbanan mereka dan tidak ada diskriminasi. Petugas JKM juga adalah sebahagian daripada barisan hadapan. Namun, saya juga mengalu-alukan sebarang pandangan," katanya, menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menganggap SOP berkenaan adalah satu bentuk 'diskriminasi' kepada anak-anak petugas barisan hadapan.

Media sebelum ini melaporkan terdapat permintaan daripada golongan pakar pediatrik supaya SOP taska yang dikemas kini itu dibatalkan kerana ia dilihat sebagai satu bentuk 'diskriminasi' apabila anak-anak petugas barisan hadapan kekal berada di rumah atau sekiranya dihantar ke taska, perlu 'diasingkan' daripada kanak-kanak lain.

Terdahulu, Rina, yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau lebih dekat dan beramah mesra dengan petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang bertugas ketika Aidilfitri.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 4:35 PM