POLIS melakukan pemeriksaan disebuah rumah di Kampung Bunohan. FOTO IHSAN PEMBACA
POLIS melakukan pemeriksaan disebuah rumah di Kampung Bunohan. FOTO IHSAN PEMBACA
Siti Rohana Idris


AKTIVITI ziarah di sebuah kediaman di Kampung Bunohan, Tumpat petang semalam menerima kejutan apabila dikunjungi anggota polis yang membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun, individu yang berada di rumah itu dipercayai terdiri daripada sanak saudara terdekat dan tidak melebihi 20 orang sekali gus tiada tindakan dikenakan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, biarpun mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP), namun mereka dinasihatkan tidak berkumpul dalam tempoh lama.

"Sebaik anggota polis tiba di rumah itu, ada beberapa individu segera bersurai dan anggota polis menasihatkan individu lain supaya patuh SOP dengan mengamalkan penjarakan sosial," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ab Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas satu video yang tular, hari ini mengenai kehadiran pihak berkuasa di sebuah rumah untuk membuat pemeriksaan berikutan terdapat ramai pengunjung.

Menurutnya, walaupun tiada tindakan dikenakan, namun pihak polis serius membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah kerana dibimbangi ada yang memandang ringan terhadap SOP yang dikeluarkan.

"Kami serius dalam memantau situasi sebegini (berkumpul) dan sentiasa membuat pemeriksaan mengejut sekiranya kelihatan kenderaan atau pengunjung yang ramai di sesebuah kediaman.

"Bagaimanapun, setakat hari ini tiada yang berkumpul melebihi 20 orang dan semuanya patuh akan SOP.

"Sekiranya ada yang dikesan berkumpul ramai sehingga melanggar SOP, pihak kami tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 5:08 PM