NURSYARIZZAL Nordin (kanan) bersama isteri Lailatul Aimi Khalid dan dua anak mereka menyambut Aidilfitri.
NURSYARIZZAL Nordin (kanan) bersama isteri Lailatul Aimi Khalid dan dua anak mereka menyambut Aidilfitri.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


"SAYA bersyukur selepas beberapa minggu dikuarantin, akhirnya saya disahkan negatif Covid-19 dan masih bernafas untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tahun ini," kata Nursyarizzal Nordin, 38.

Mesra disapa Jai, bapa kepada dua anak berusia tiga dan tujuh tahun ini berkongsi pengalaman melalui tempoh kuarantin sejak 24 Mac lalu selepas positif pandemik yang sudah menjangkiti lebih lima juta manusia seluruh dunia.

Berkongsi pengalaman dirawat dan dikuarantin, Jai berkata, dia menjalani hari yang suram sepanjang tempoh kuarantin kerana terpaksa berpisah dengan keluarga lebih tiga minggu.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, dia menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh, Kolej Komuniti Sungai Buloh dan Institut Penilaian Negara di Sabak Bernam.

"Pada mulanya saya memang 'down' (kecewa) bila doktor sahkan ujian calitan (swab) di Hospital Serdang mendapati saya positif Covid-19 kerana tidak pasti apa kesudahannya nanti.

"Hanya lambaian dan linangan air mata mengiringi pemergian ke hospital sebaik dijemput kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia yang lengkap memakai pakaian perlindungan diri pada malam 24 Mac lalu," katanya kepada Harian Metro.

Jai berkata, sepanjang tempoh kuarantin, masa banyak dihabiskan dengan beribadah selain berkomunikasi bersama isteri dan anak menerusi panggilan telefon.

Katanya, hanya semangat untuk pulih menjadi kekuatan untuk terus melawan wabak itu dek mengenangkan anak yang masih kecil dan memerlukan perhatian dan kasih seorang ayah.

"Tidak banyak aktiviti dapat dilakukan di pusat kuarantin selain hanya menanti jururawat dan doktor datang menjalankan pemeriksaan rutin harian.

"Wabak ini sangat berbahaya kerana sehingga kini saya tidak pasti punca dijangkiti kerana tidak bercampur dengan kluster yang diumumkan KKM," katanya.

Walaupun tidak dapat beraya di kampung halaman di Parit Buntar, Perak, namun kesempatan beraya bersama isteri Lailatul Aimi Khalid, 37, dan dua anak sudah cukup melengkapi sambutan Aidilfitri dalam suasana normal baharu ini.

Beliau berkata, penghormatan tertinggi harus diberikan kepada petugas barisan hadapan yang kekal fokus memerangi wabak ini walau dalam kepayahan apa sekali pun.

"Jika mereka sanggup berkorban meninggalkan keluarga selain memperjudikan kesihatan sendiri, kita sebagai rakyat juga perlu bersatu hati memutuskan rantaian pandemik ini.

"Ini satu pengalaman yang baru untuk rakyat Malaysia supaya menjalani kehidupan dalam normal baharu dan apa yang paling penting kita mesti menang dalam 'perang' menentang Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 5:37 PM